Thursday, July 26, 2012

TAGGED UNDER:

Artikel : Air Hak Negeri Selangor, Bukan Milik Kroni UMNO-BN



Di sebalik kemelut kerajaan negeri Selangor dan syarikat air swasta SYABAS, satu perkara yang harus lihat kembali ialah pokok pangkal  tujuan pengambilalihan pengurusan air di negeri tersebut, iaitu:

* Untuk mengekalkan tarif air yang rendah;
* Memberi perkhidmatan yang lebih cekap serta berkesan; dan
* Meneruskan perkhidmatan air percuma sebanyak 20 meter padu pertama.

Sekiranya kerajaan negeri tidak mengambil alih SYABAS secara penuh, rakyat negeri Selangor bakal berhadapan dengan kenaikan tarif air yang membebankan dan perkhidmatan yang kurang memuaskan.

Untuk mencapai maksud tersebut, kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan untuk mengambil alih SYABAS dan melakukan rombakan terhadap pengurusan kanan SYABAS. Tindakan itu adalah selari berdasarkan Perkara 32 dalam perjanjian konsesi air.

Perkhidmatan SYABAS tidak memuaskan?

SYABAS tidak mampu menguruskan operasi rawatan dan pengedaran air seperti yang tertakluk di dalam perjanjian konsensi antara SYABAS dan Kerajaan Negeri. Apa yang dilihat oleh rakyat ialah SYABAS tidak dapat menyediakan air terawat yang mencukupi dan gagal mengurangkan jumlah air yang tidak membawa hasil (NRW–non revenue water).

Disebabkan faktor tersebut, SYABAS sendiri telah meminta supaya catuan air atau water rationing dilaksanakan untuk beberapa kawasan di Selangor kerana mendakwa tidak mampu menyediakan bekalan air terawat yang mencukupi.

Memorandum yang diserah kepada SYABAS dalam demonstrasi Bantah Syabas di Shah Alam tempoh hari 23 Julai 2012 antara lain juga memetik bahawa “Selangor kehilangan 60 projek pelaburan akibat perkhidmatan bekalan air yang tidak memuaskan. Sebanyak 162 buah projek pembangunan di Selangor tidak diluluskan SYABAS dan membuktikan SYABAS tidak layak menguruskan air di negeri ini.”

Bagaimana tarif air boleh naik?

Cadangan SYABAS kepada kerajaan negeri untuk membina Loji Langat 2 akan melibatkan sejumlah amaun yang besar iaitu RM8.65 billion yang akan melibatkan kos pengaliran air mentah dari Pahang ke Selangor yang mana dijangka siap pada 2014.

Kerajaan negeri Selangor juga terpaksa membayar RM60 juta hingga RM70 juta royalti air setiap tahun kepada Pahang bagi air mentah tersebut.

Untuk menampung kos ini, tarif air negeri Selangor akan meningkat sehingga 70 peratus dari kadar semasa. Kenaikan tarif air ini memungkinkan rakyat negeri ini tidak lagi dapat menikmati 20 meter padu air percuma kerana terpaksa menanggung bebanan kos pembinaan Langat 2.

Sebagai sebuah syarikat swasta, adakah Syabas mampu mengorbankan keuntungannya lebih-lebih lagi ia dilaporkan menanggung beban hutang bernilai RM2.8 bilion kepada operator loji rawatan air.

Perlukah tarif air dinaikkan sehingga 70 peratus?

Mengapa SYABAS mahu bina Loji Langat 2?

SYABAS mahu membina Loji Langat 2 kerana, menurut syarikat itu yang diterajui oleh pimpinan UMNO, Lembah Klang bakal berhadapan dengan krisis bekalan air yang serius. Projek yang dijadualkan siap pada tahun 2014 ini dikatakan mampu memenuhi bekalan air bersih di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur sehingga 2025.

Pembinaan Langat 2, dicadangkan berikutan laporan air oleh National Water Resources Studies (NWRS) 2000 dan 2011 yang disediakan oleh Ranhill Consulting dan SMHB Sdn Bhd dimana syarikat ini terlibat sebagai perunding cara air.

Menurut penyelaras Coalition Against Water Privatisation (CAWP), Charles Santiago yang juga Ahli Parlimen Klang, laporan tersebut turut menggunakan unjuran penggunaan air per kapita yang jauh lebih tinggi daripada yang sebenar.

Lebih membingungkan, pengumuman SYABAS untuk membuat catuan di beberapa kawasan Lembah Kelang baru-baru ini menimbulkan tanda tanya kerana kalau pun kerajaan negeri Selangor bersetuju meneruskan projek Langat 2, ia cuma akan beroperasi pada 2014.

Bagaimana mungkin ‘krisis air’ boleh selesai sedangkan lojinya pun belum siap?

Pada Isnin lalu (23 Julai 2012), Jawatankuasa Khas Kabinet yang diketuai Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, “Tidak ada catuan tetapi di beberapa tempat yang berlakunya kekurangan bekalan air, SYABAS akan menyalurkan air kepada mereka jadi tidak ada sebarang masalah.”

Apa isu sebenar sekarang?

Masalah ‘air’ ini bukan disebabkan kekurangan bekalan air mentah di Selangor. Bekalan air mentah Selangor lebih dari mencukupi di seluruh 7 empangan dan 33 loji rawatan air di Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor tidak memerlukan loji Langat 2 yang menelan belanja yang begitu tinggi dan akhirnya memebebankan rakyat kerana keperluan air terawat tersebut boleh didapati dengan cara yang lebih mudah, jimat dan berkesan.

Untuk memenuhi maksud tersebut, kerajaan negeri bersedia membina loji mitigasi 2 yang hanya menelan belanja jauh lebih kecil iaitu RM225 juta berbanding RM8.6 billion projek Langat 2. Loji mitigasi ini akan meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat di Selangor.

Apa dan siapa di sebalik Loji Langat 2

SYABAS bertanggungjawab menguruskan pengedaran dan bekalan air terawat kepada lebih 7 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sebanyak 70 pertus saham syabas dimiliki oleh Puncak Niaga Holdings Berhad manakala 15 peratus dimiliki oleh Kumpulan Darul Ehsan Sdn. Bhd. dan 15 peratus pula Kumpulan Perangsang Selangor Berhad iaitu anak syarikat kerajaan negeri Selangor.

Individu yang berada di sebalik Syabas dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd ialah Tan Sri Rozali Ismail. Beliau merupakan Pengerusi Eksekutif Syabas dan juga Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holding Berhad. Beliau juga merupakan bekas Bendahari UMNO Selangor dan masih lagi ahli UMNO sehingga kini.

Majoriti empangan di Selangor adalah di bawah kendalian Puncak Niaga manakala 29 daripada 34 loji rawatan air di Selangor dipajakkan kepada SYABAS.

Lebih menjadi persoalan apabila timbul dakwaan bahawa pembinaan loji Langat 2 juga akan menguntungkan kroni-kroni UMNO manakala beban kewangan akan ditanggung oleh kerajaan negeri Selangor serta rakyat Selangor sendiri. termasuk mereka yang menjadi ahli-ahli UMNO.

Mengambil contoh apa yang berlaku kepada MAS, syarikat penerbangan yang pada mulanya milik kerajaan yang diswastakan tersebut akhirnya terpaksa ‘diselamatkan’ kembali oleh kerajaan menggunakan dana awam. Penswastaan tidak menjamin apa-apa kebaikan kepada rakyat sekiranya wujud elemen kronisme dan penyelewengan.

Kontroversi penyelewengan SYABAS

Semasa membahas usul “Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 dan Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2011” di Dewan Rakyat pada 30 November 2010 Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr. Zulkefly Ahmad telah mendedahkan bahawa laporan audit terhadap SYABAS menunjukkan syarikat swasta tersebut telah melanggar terma penting dalam syarat perjanjian di mana mereka gagal mematuhi keperluan kontrak untuk dilaksanakan secara tender terbuka.

Lebih dari 72 peratus kontrak bernilai RM600 juta diberikan kepada syarikat-syarikat yang dipilih secara rundingan terus dan hanya 25 peratus syarikat dipilih melalui tender terbuka. Ini telah melanggar syarat perjanjian.

Selain itu, perbezaan berjumlah RM325 juta telah ditemukan antara ringkasan kontrak yang dianugerahkan pada tahun 2005, 2006 dan 2007 dengan dokumen penilaian SYABAS (Akaun Umum).

Pada Jun 2005, SYABAS juga melanggar konsesi dengan menggunakan paip yang diimpot daripada Indonesia, dan bukan daripada pembekal tempatan, untuk penggantian paip bernilai RM375 juta. RM51.2 juta telah dibelanja untuk mengubahsuai pejabat SYABAS sedangkan Jabatan Kawalselia Air Selangor (JKAS) hanya meluluskan sebanyak RM23.2 juta.

Perkara yang didedahkan ini menunjukkan pengurusan SYABAS yang tidak telus dan berintegriti. Tidak hairanlah apabila kerajaan Selangor membuat cadangan SYABAS untuk memecat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Rozali Ismail.

Cadangan pemecatan tersebut merupakan hasil penelitian jawatankuasa pemantauan SYABAS yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri. Ia akan menjimatkan kos operasi sebanyak RM5.1 juta setahun dari gaji Pengerusi Eksekutif SYABAS.

Air milik rakyat dan kerajaan negeri Selangor

Air di Selangor dan beberapa negeri lain diuruskan oleh kerajaan negeri sebelum ia diswastakan semasa zaman Tun Mahathir Mohamad kepada syarikat-syarikat kroni. Dengan rekod perkhidmatan yang kurang memuaskan dan campur tangan kerajaan pusat terhadap hak rakyat dan hak negeri  ini, pengurusan air wajar diserahkan semula sepenuhnya kepada kerajaan negeri untuk memastikan perkhidmatan yang efisyen dengan kadar tarif yang rendah.

Adakah salah sekiranya kerajaan negeri mengambil alih pengurusan air di Selangor yang bakal menguntungkan rakyat terbanyak berbanding beberapa kerat kroni UMNO?

Oleh itu, adalah sangat wajar Selangor sebagai sebuah negeri yang mempunyai keupayaan ekonomi dan pentadbiran yang telus dan memberangsangkan mengambilalih semula pengurusan air di negeri tersebut.

Jangan lupa kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri yang mana hak-hak negeri termasuk air adalah milik negeri demi kepentingan rakyat. – Roketkini.com

The karmic wheel is turning.., faster than before .., till the end of time, till the end of life.. the wheel is turning as we die
Follow me @drkarmic
Subscribe to this Blog via Email :

2 comments:

  1. umno memang sial

    ReplyDelete
  2. UMNO dan kroni ungkapan yang sinonim. Macam isi dengan kuku. Jenis makhluk pakar songlap. Nasib baik kepala paip tu terlekat. kalau tak dengan kepala paip sekali dia orang songlap.

    ReplyDelete

Kepada Member : Komen le bagi semangat
Kepada Pembaca : Komen le mana yg patut
Kepada Pencacai : Agak agak le kalo komen
Kepada Kaki Spam : Luorang takyah komen pon takpe ...Kah kah kah

© 2014 Debik Karmic. Designed by Bloggertheme9
Powered by Blogger.
back to top