Sepanjang pemerhatian saya, sebahagian daripada masyarakat hari ini tidak kira sama ada dari kelompok pelajar, professional hatta orang terpelajar — masing-masing masih belum jelas dengan perbezaan antara kerajaan dan parti politik.
Bukan sekadar kabur dengan perbezaan antara parti politik dan kerajaan bahkan kebanyakkan juga kurang jelas dengan pengertian apa itu kerajaan dan apakah pula parti politik?
Lantaran itu, tidak hairanlah seandainya ada polisi kerajaan yang dikritik, kata-kata sinikal seperti tidak mengenang budi mudah saja ditunding oleh sesetengah golongan ini.
Pada hakikatnya, kata-kata itu secara dasarnya merupakan satu tuduhan yang tidak berasas ekoran dari kedangkalan dalam memaklumi dan membezakan definisi sebenar kerajaan dan parti politik.
Secara dasarnya, parti politik adalah satu badan orang-orang yang bersatu untuk bersama membina kepentingan Negara melalui prinsip-prinsip tertentu yang telah dipersetujui secara kolektif manakala menurut Peter B. Harris parti ialah satu kumpulan yang tersusun yang berusaha untuk menguasai kedudukan personel dan dasar sesuatu kerajaan.
Contoh ini dapat dilihat dengan kewujudan parti politik seperti Barisan Nasional, PAS , Parti Keadilan Rakyat serta beberapa parti lain yang wujud atas kepentingan parti dalam membawa dan menyuarakan hak rakyat.
Penyertaan parti politik ini di dalam pilihan raya umum seterusnya membolehkan parti politik tersebut membentuk sesebuah kerajaan sama ada di peringkat negeri ataupun pusat yang mana pada dasarnya telah dipersetujui oleh kelompok masyarakat melalui undian pilihan raya.
Justeru itu, tidak kira parti mana pun yang memerintah, Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat sekali pun, apabila mereka memegang tampuk pemerintahan kerajaan justeru mereka menggalas tanggungjawab yang sama. Kemenangan yang diperoleh dalam pilihanraya umum adalah satu kepercayaan yang diberikan oleh rakyat untuk memerintah.
Antara fungsi utama sesebuah kerajaan adalah menyediakan barangan dan perkhidmatan awam untuk kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan, seperti infrastruktur, bantuan bencana, taman-taman awam, penjagaan kesihatan asas, perumahan subsidi, pendidikan awam dan kemudahan awam yang lain. Perlu ditekankan di sini, bahawa ini adalah satu kemestian atau kewajipan bagi kerajaan untuk menyediakan setiap prasarana yang kondusif kepada masyarakat awam.
Seharusnya, papan-papan tanda seperti “Satu lagi projek kerajaan Barisan Nasional” tidak seharusnya wujud. Yang perlu wujud adalah “Satu lagi projek kerajaan persekutuan” atau “satu lagi projek kerajaan negeri”.
Hakikatnya, kerajaan itu wujud dan berdiri atas kemenangan parti. Justeru parti apa pun yang menang, itu adalah kerajaan yang bakal memerintah. Jadi apa perlunya menekankan projek yang didirikan itu berlandaskan parti? Setiap dana yang dikeluarkan untuk projek tersebut adalah daripada rakyat dan dikembalikan kepada rakyat, cuma sekadar di realisasikan oleh kerajaan yang memerintah untuk kemudahan rakyat.
Dewasa ini, dapat dilihat ramai antara golongan mahasiswa yang sudah mula membuka mata dan sudah berani untuk mengkritik polisi kerajaan yang dirasakan tidak betul dan tidak menguntungkan masyarakat awam. Tindakan golongan mahasiswa ini adalah atas dasar kepentingan rakyat dan bukan atas isu politik semata-mata.
Namun golongan ini, kerap kali dikecam oleh penyokong-penyokong parti politik. Mereka menuduh bahawa mahasiswa tidak besyukur dengan apa yang telah diberikan oleh kerajaan. Kencaman tidak mengenang budi sudah menjadi lumrah yang ditunding kepada pelajar IPTA atas alasan tidak menghargai subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka dari pendidikan rendah sejak pendidikan tinggi.
Hakikatnya, subsidi adalah tanggungjawab kerajaan, justeru mengapa pelajar harus dikecam seandainya mereka menyuarakan pendapat tentang polisi kerajaan yang dilihat tidak berasas atau tidak membawa keuntungan kepada rakyat. Lantaran setiap dana yang dikeluarkan itu harus diambil kira secara mendalam tentang kepentingannya untuk jangka masa panjang kepada masyarakat.
Apa perlu diungkit sama ada mahasiswa itu perlu mengenang budi atau tidak? Soal itu sebenarnya tidak pernah timbul! Hakikatnya itu adalah sudah menjadi satu kewajipan kerajaan untuk menyediakan kemudahan-kemudahan tersebut kepada masyarakat awam.
Lantaran itu, keperihatinan mahasiswa dalam mengkritik polisi kerajaan sama sekali tidak harus dipersoalkan. Hal ini kerana sama ada barisan nasional mahupun pakatan rakyat, masing-masing harus bertanggungjawab dalam menyediakan kemudahan yang sama.
Apakah golongan terpelajar sekadar perlu duduk dan melihat apa saja yang dilakukan dan menerimanya seadanya tanpa memberikan sebarang teguran seandainya ada kekhilafan yang terbentang di depan mata?
Kelompok masyarakat seperti inilah yang menyumbang kepada kelompok masyarakat tipikal yang mudah berpuas hati apabila diberikan sedikit ganjaran. Inilah juga yang menyumbang kepada kelompok masyarakat yang tidak kisah jikapun wakil rakyat mereka tidak turun padang dan memantau kebajikan masyarakat yang telah mereka wakilkan di dalam pentadbiran kerajaan. Cukup sekadar wakil rakyat tersebut turun sewaktu hari berkempen dan memberikan sedikit saguhati sepanjang hari berkempen.
Perkara ini seharusnya dibanteras dengan lebih cepat. Bagi mendapatkan satu kerajaan kebajikan yang mementingkan kebajikan masyarakat lebih daripada kepentingan individu. Untuk tujuan itu, maka seharusnya masyarakat kita harus mengamalkan sikap keterbukaan dalam menerima kritikan membina dari setiap pihak untuk kemaslahatan bersama.
Rakyat pula harus bijak dalam membezakan antara tanggungjawab kerajaan dengan perkara-perkara yang diperjuangkan oleh parti politik bagi memastikan keputusan yang dibuat sewaktu menentukan kuasa kepimpinan Negara adalah yang terbaik di masa akan datang.
Nota: Artikel Dari Sumber
pati n kerajaan mmng la berbeza..kerajaan merangkumi semua rakyat yg berbilang pati..contoh mjlis kjaan spt sambutan hari merdeka..majlis pati spt umno mnyambut umo yg dh uzur 66th tu yg tk sepatut nya mereka berhimpun d stadium kjaan Malaysia haram tu kih kih..
ReplyDeletekerajaan n pati mmng la berbeza, kerajaan merangkumi semua rakyat yg menganut berbilang pati..majlis kajaan spt sambutan hari kebangsaan,majlis pati spt umno yg bru2 ni mnyambut umo yg dh uzur 66th tu, yg wa tk puas hati mngapa depa berhimpun d stadium milik kajaan Malaysia? sah2 puak2 umno bongok tk paham mkna kerajaan..guwe haram kan mereka berhimpun d tempat milik kerajaan Malaysia kikikikikih
ReplyDelete