Sunday, August 5, 2012

TAGGED UNDER: , ,

Jawapan Yang Amat Memberansangkan Oleh Lajim Ukin Dan Wilfred Bumburing Isu Sabah



GELOMBANG kebangkitan rakyat Sabah tidak lagi dapat ditahan-tahan, apatah lagi dengan wujud gerakan Pakatan Perubahan Sabah dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang kedua-duanya menyokong Pakatan Rakyat.

Malah, penggerak APS, Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing mengisytihar keluar BN keluar manakala peneraju PPS, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin meletak semua jawatan dalam Umno. Editor Suara Keadilan (SK), Fazallah Pit menemu bual mereka secara berasingan bagi menyelongkar isi hati mereka.
Temu bual dengan Lajim Ukin:



SK : Apakah agenda sebenar Pakatan Perubahan Sabah (PPPS)?

LAJIM : Oleh kerana masa ini kita tidak ada parti berdaftar, maka kita tubuhkan PPS. Dengan tujuan kita berjuang bersama-sama pembangkang sama ada dari Semenanjung atau Sabah. Kita sama-sama pertahankan hak-hak orang Sabah

Pakatan sedemikian akan mendokong perjuangan KEADILAN, PAS, DAP atau parti-parti pembangkang di Sabah. Kita memikir untuk mendaftar parti baru tetapi sudah banyak parti yang didaftarkan. Difahamkan Sabah ada lebih 10 parti yang mengemukakan pendaftaran tetapi belum lulus.

Jika parti-parti tersebut lulus, kita akan menimbangkan parti mana pilihan kita dan kita akan terajui bersama.

SK : Bagaimanakah senario sebenar gelombang kebangkitan rakyat di Sabah?

LAJIM : Sambutan rakyat Sabah cukup memberangsangkan. Saya mendapat maklum balas dari rakan-rakan di peringkat akar umbi bahawa rakyat pelbagai kaum inginkan perubahan. Terutamanya perubahan status kerajaan. Mereka ingin sebuah kerajaan baru ditubuhkan di Sabah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan dapat bertindak ke atas isu-isu yang amat menakutkan rakyat Sabah

SK : Isu apakah yang menghantui rakyat hingga mahu menukar kerajaan sedia ada?

LAJIM : Isu utama adalah pendatang tanpa izin yang berleluasa. Tidak ada tindakan konkrit oleh kerajaan pusat. Ini kuasa kerajaan pusat. Oleh itu, kita harap kerajaan pusat berubah (dalam PRU).

Dengan kerjasama kerajaan pusat baru, satu Suruhanjaya DiRaja perlu dibentuk untuk menyiasat kehadiran pendatang tanpa izin, termasuk pengeluaran kad pengenalan palsu atau diragui.

Kedua masalah pembangunan. Sabah masih ketinggalan jauh dalam semua aspek berbanding Semenanjung. Kita akan suarakan masalah ini sama ada oleh PPS atau Angkatan Perubahan Sabah (APS) dan kerajaan pusat (yang baru) ambil perhatian serius mengenai masalah itu.

Begitu juga segi agihan peruntukan prasarana luar bandar, pendidikan, kesihatan dan lain-lain yang masih ketinggalan jauh berbanding Semenanjung. Kita tidak cemburu. Tetapi kita telah puluhan tahun merdeka bersama-sama persekutuan, jadi tidak boleh ditinggalkan.

SK : Bagaimana perubahan kerajaan boleh berlaku ketika terlalu ramai pendatang tanpa izin diberi kad pengenalan dan boleh mengundi?

LAJIM : Seluruh rakyat asal Sabah yang menjadi pengundi 800,000 orang. Jika semua turun mengundi, walaupun ada pertambahan (pengundi hantu) tetap tidak mengatasi pengundi asal Sabah. Orang asal Sabah perlu turun mengundi sehingga 80 peratus.

SK : Mengapakah PPS dan APS tidak bergabung?

LAJIM : Itu satu identiti, PPS diketuai Bumiputera beragama Islam (manakala) APS untuk Bumiputera bukan Islam. Kita buat supaya ada persefahaman dan hala tuju masing-masing yang bermatlamat bekerjasama dengan Pakatan.

Rakyat Sabah tertanya-tanya mengapa apabila hampir PRU, baru kerajaan Persekutuan umum siasat IC palsu?

Itulah yang mengecewakan rakyat Sabah. Di saat-saat akhir baru ada penubuhan Suruhanjaya DiRaja, pengumuman air dan sebagainya. Kenapa sekarang? Bukan 10 atau 20 tahun lepas. Kita merdeka sudah lebih 50 tahun. Sabah dan Sarawak sama-sama membentuk Malaysia pada 16 September 1963.

SK : Ada pihak mempertikai mengapa sebelum ini tidak bawa masalah Sabah di Parlimen?

LAJIM : Di pihak kerajaan saya tidak boleh menyuarakannya (di Parlimen) sebab saya Timbalan Menteri, sebahagian kabinet persekutuan. Tetapi dalam majlis tertentu, dalam MT Umno atau dalam perhimpunan tertentu saya suarakan.

Bila saya lantang, maka saya dianggap penentang kerajaan. Pada saya, apa yang disuarakan itu sesuatu yang perlu diselesaikan oleh kerajaan kerana mereka ada kemampuan. Misalnya ketiadaan bekalan air, elektrik sering terputus, jalan raya belum sempurna dan lain-lain.

SK : Maknanya semua saluran menyuarakan masalah dari dalam kerajaan sudah tertutup?

LAJIM : (Mungkin) ada tapi nampaknya agak perlahan. Terdapat anggapan Sabah deposit tetap dan sokongan tidak akan berubah (walaupun masalah tidak selesai) tetapi pada kita kalau simpan fix deposit di bank dan kadar faedah turun, maka kita kena tukar ke bank yang lain. Begitulah jika Sabah dianggap simpanan tetap.

Kalau dianggap penyumbang kekuatan BN di peringkat persekutuan, maka seharusnya kita diberi perhatian yang lebih menyeluruh mengenai masalah yang dihadapi rakyat.

SK : Bagaimana rakyat yakin kepada PPS sebab sejarah Sabah mengalami banyak pertukaran kerajaan?

LAJIM : Rakyat sudah buat keputusan lebih awal. Contohnya di kawasan saya ada ketua cawangan, malah yang masih pegang jawatan dalam kerajaan sudah lebih awal sertai KEADILAN. Ada yang bayar RM200 ahli seumur hidup. Maknanya rakyat peringkat akar umbi sudah tahu menilai apa sepatutnya mereka lakukan untuk kebaikan Sabah dan generasi akan datang

SK : Harapan jika Pakatan memerintah Sabah dan Persekutuan?

LAJIM : Dalam buku ‘Hala tuju Aspirasi Rakyat Sabah’ jelas ada tuntutan yang dikemukakan rakyat. Itu kita akan kemukakan kepada kerajaan (pusat) baru, supaya bukan sahaja mereka teliti, tetapi mereka ambil tindakan dalam tempoh yang sepatutnya. Kita yakin kerajaan pusat lebih banyak kuasa daripada kerajaan negeri (realisasi tuntutan). Kerajaan harus prihatin akan kehendak rakyat Sabah.

SK : Perubahan di peringkat negeri banyak berlaku tetapi di peringkat pusat tidak pernah. Sejauh mana ia realistik?

LAJIM : Banyak negara yang merdeka hampir sama dengan Malaysia telah berubah. Di Indonesia, Golkar jatuh, di India Parti Kongres jatuh, parti LDP Jepun pun jatuh. Di Singapura dalam PRU yang lepas agak membimbangkan. Tidak hairan di negara kita rakyat sudah matang, terutama di kalangan generasi muda, mereka ingin membentuk kerajaan yang betul-betul menjiwai rakyat

Perlu satu dasar konkrit melibatkan generasi muda, wanita dan seluruh rakyat . Kita akui Malaysia pelbagai kaum; ada Melayu, India, Cina dan Orang Asli. Di Sabah ada lebih 31 suku kaum. Aspirasi mereka perlu diambil kira.

SK : Mungkihkah lebih ramai ahli politik Sabah akan sertai PPS?

LAJIM : Banyak yang akan sertai kita termasuk yang masih pegang jawatan. Tetapi mereka maklumkan kepada saya supaya lancar PPS dulu kemudian satu demi satu akan sertai kita. Termasuk bekas-bekas wakil rakyat dan pemimpin di peringkat negeri, kawasan juga pesara kerajaan yang sedia membantu.

Berikut temu bual  bersama Wilfred Bumburing:


SK : Mengapa menyertai Pakatan Rakyat?

BUMBURING : Kita lihat keadaan politik tanah air Malaysia dan Sabah. Saya sebagai Timbalan Presiden UPKO, Ahli Parlimen Tuaran melihat keadaan politik dan cara pemerintahan di Malaysia, pertamanya tidak ada perkongsian kuasa.

Dalam BN, yang memerintah sepenuhnya ialah Umno. Parti komponen hanya ikut telunjuk. Hanya ada setiakawan semasa pilihan raya, selepas itu Umno yang menguasai. Kita juga lihat keadaan kerajaan amal rasuah. Ini dilaporkan media, disentuh dalam Parlimen tapi tiada respon sama sekali.

SK : Selain isu nasional seperti rasuah, apa isu yang dekat dengan hati pengundi di Sabah dan mendorong berlaku perubahan?

BUMBURING : Ibu kepada semua masalah di Sabah ialah kebanjiran pendatang tanpa izin. Kalau kita pisahkan dari segi kaum, sudah melintasi semua kaum yang lain. Pendatang sudah 27 peratus sedangkan Melayu (22%), Kadazandusun (17%).

Kita dapati ada 250,000 pendatang tanpa izin sudah jadi pengundi. Itu yang jelas dilihat sebagai Filipino, Bugis tapi mereka dapat kad pengenalan dengan berselindung dalam suku-suku lain, Melayu, Bajau. Mereka mendatangkan pelbagai masalah. Dari segi ekonomi, mereka kuasai teksi sewa, bas mini, tamu (pasar).

Sejak PRU 10 dan makin ketara PRU 11. Apabila pilihan raya, mereka diangkut dengan bas untuk mengundi. Dan PRU 13, kita jangka tidak kurang 300,000 sudah masuk. Jadi, kenapa BN biarkan orang asing menentukan masa depan negara? Ini masalah terbesar Sabah.

SK : Seteruk mana masalah perkongsian kuasa dalam BN?

BUMBURING : Baik BN Sabah, mana ada masyuarat. Dari dulu sampai sekarang, ada satu kali saja tapi itu bukan mesyuarat – datang pun marah-marah sahaja. Buat gaduh.

Selain itu, kita di Sabah dikenali sebagai fixed deposit (deposit tetap). Kita dibagi lima peratus hasil minyak, diangkut ke Semenanjung dan dibelanjakan dalam projek-projek mega. Dan dibagi kontrak kepada kroni Umno. Sedangkan kita di Sabah makan habuk.

Saya pernah cari orang susah untuk menerima bantuan. Di Tuaran, saya daftarkan 3,000 nama keluarga. selepas empat bulan, 800 nama dipotong. Saya melawat orang susah, terlantar 20 tahun tapi selepas empat bulan, nama dipotong tanpa sebab. Bila saya tanya di Parlimen, cakap tidak jadi sebab tiada wang.

SK : Kenapa ketika masih BN, tidak perjuangkan khususnya di Parlimen?

BUMBURING : Ada beberapa sebab. Dalam mesyuarat, kita suarakan semua ini, dalam parlimen, sudah berapa tahun kami bersuara tapi respon tidak konkrit. kita dikenal sebagai fixed deposit (deposit tetap) tapi peruntukan tidak dibagi sama rata.

Di mana keadilan BN? Itu yang ketara sekali. Jadi kita perjuangkan dalam Parlimen, dalam mesyuarat tapi tidak diberi respon yang konkrit. Soal projek, jangan ceritalah. Selain Umno di Sabah ini, jangan harap dapat satu sen pun kontrak kerajaan.

Tapi, di Parlimen, perjuangan Pakatan Rakyat selari dengan hasrat rakyat. Saya lihat perbahasan, saranan dan dasar yang dibawa pemimpin Pakatan baik untuk rakyat. Saya lihat, masalah yang disebut itu, pemimpin BN tutup telinga sahaja. Maka saya berpendapat, penyelesaian masalah Sabah tidak ada. Saya tidak lihat apa-apa cara kalau masih dalam BN. Itu sebab saya dan rakan-rakan sertai Pakatan.

Mungkin ada anggapan penyertaan dalam Pakatan hanya untuk ambil kesempatan kerana BN semenangnya akan tumbang.

Saya sedia hadapi semua ini. Kerana apa yang kita buat ini kita rasa pada jalan yang betul. Saya tidak kisah dengan serangan dari rakan saya sendiri. Serangan itu tidak penting. Yang penting rakyat tahu apa sebab. Dalam setahun dua ini, suara saya di Parlimen terarah kepada pembangkang, malah awal tahun ini Sri Gading dari BN jerit pada saya, cakap Tuaran ini pembangkang atau BN?

Apabila saya suarakan hasrat rakyat, saya dianggap pembangkang. Sebabnya, BN tidak sedia dengar suara rakyat. Apabila kita bersuara tidak ikut lagu BN, dipanggil pambangkang. Mereka tiada hak untuk tutup suara saya, yang penting saya wakil rakyat dan saya sampaikan apa yang diminta oleh pengundi.

SK : Bagaimana persediaan rakyat Sabah untuk menukar kerajaan?

BUMBURING : Kita lihat di Sabah, sebenarnya perasaan akar umbi sudah sedia. Kalau banding 1995 ketika PBS tumbangkan BN, begitulah. Malah, saya ingat lebih hangat, lebih hebat. Perasaan itu sudah membara tapi tidak ada saluran sebab kebanyakan pemimpin masih dalam BN. Ada sedikit tapi bilangan dalam pembangkang belum cukup. Kita perhatikan satu kebangkitan tsunami dari Sabah. Malah, respon terhadap pengisytiharan APS begitu tinggi sekali

Saya juga tidak anggap Pakatan sebagai pembangkang tapi kerajaan alternatif kerana sudah kerajaan di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

Sebelum ini, kita mahu bawa UPKO keluar BN dan sertai Pakatan tapi nampaknya pimpinan UPKO ambil keputusan kekal dalam BN. Jadi pemimpin-pemimpin UPKO keluar dan sertai Pakatan. Dan kita namakan kumpuln ini sebagai Angkatan Perubahan Sabah – bukan parti, bukan juga NGO tapi pergerakan yang bawa ke landasan bersama Pakatan untuk hadapi PRU 13

SK : Senario politik Sabah unik dan pertukaran kerajaan berlaku banyak kali tapi sejauh mana APS mampu menjatuhkan BN?

BUMBURING : Lihat 1967, apabila masyarakat Kadazan-Dusun-Murut diketuai UPKO sertai Usno, ia jadi itu kukuh. Selepas 13 tahun, apabila Datuk Haris Salleh bersama mendiang Saleh Sulung keluar Usno dan disertai Donald Stephen, tumbang perikatan. Dua orang sahaja.

Pada 1985, ulang sejarah apabila Datuk Pairin Kitingan dan mendiang Datuk Mark Kodding keluar dari Parti Berjaya. PBS ditubuh dan berjaya tumbangkan kerajaan sedia ada. Pada 1994, PBS memang tapi dirampas seperti yang berlaku di Perak sebelum ini.

Dengan wujudnya kumpulan APS dan Pakatan Perubahan Sabah (PPS), ia akan melakar satu gerakan meroboh kerajaan negeri di Sabah. Dari dua hala, orang Islam dan bukan Islam. Harus diingat, sejak 1967, apabila Kadazan-Dusun-Murut menukar haluan politik, perubahan kerajaan pasti berlaku.

Kali ini, ia disertai gerakan kebangkitan Melayu-Islam melalui PPS – itu melengkapkan perubahan. Dengan adanya perubahan di Semenanjung, ia bangkitkan semangat di Sabah. Kali ini, perubahan lanskap politik negara akan terjadi.

===///===

Nota Karmic : Jelas sekali apa yang dapat kita simpulkan dari kedua dua wawancara ini bahawa mereka telah cuba untuk menyuarakan pandangan dan isi hati yang mewakili suara rakyat di negeri Sabah melalui saluran saluran yang kononnya wujud dalam BN (mereka sering melaungkan agar ahli menyuarakan ketidakpuashatian mengikut saluran parti), namun tidak langsung diendahkan dan hanya dipandang sepi, malahan usaha Wilfred Bumburing untuk membangkitkan isu semasa Sabah dalam parlimen juga dibidas oleh rakan BN sendiri dan diperli seolah olah suara pembangkang.

Disinilah titik tolaknya mereka mengambil jalan untuk keluar dari persekongkolan BN demi kelangsungan masa depan dan nasib  rakyat di negeri Sabah. Kini, pimpinan dari kem BN, yang juga terdiri dari rakan rakan mereka di negeri Sabah telah mengecap mereka sebagai pengkhianat. Namun hakikatnya kalau bukan mereka berdua siapa lagi yang berani bersuara??

Sedangkan pemimpin lain di Sabah tanpa mengira samada dari PBS, PBRS, LDP pastinyasangat sedar betapa Sabah di anak tirikan, di pingirkan, di tindas dan diperkotakkatikkan, tapi demi menjaga kerusi dan hegemoni kuasa maka mereka yang lain sanggup jadi pak turut dan 'Yes Man' kepada tuan mereka yang bernama UMNO. Ini Kali Lah ~!!

The karmic wheel is turning.., faster than before .., till the end of time, till the end of life.. the wheel is turning as we die
Follow me @drkarmic
Subscribe to this Blog via Email :

7 comments:

  1. ini lah masanya untuk rakyat menolak BN kerana selama ini BN hanya mahukan mengumpul harta untuk kaum kerluarga sahaja bukan ingin membantu rakyat..seperti mana yang dinyatalkan oleh kedua dua yb yang keluar dari BN..

    ReplyDelete
  2. sedih apabila membaca wawancara ini...sememangnya bandar KK dipenuhi pendatang yg berlesen yg telah diberi lesen...

    ReplyDelete
  3. Sapa2 yg memerintah pun sama gak....sblm memerintah janji mcm2 bila sdh memerintah janji tggl janji....tp x smua la....

    ReplyDelete
  4. Nak betulkan sikit. sebagaimana temuramah yg dapat projek bukan kroni BN tapi kroni UMNO.

    ReplyDelete
  5. SELEPAS PRK SARAWAK, STATISTIK TELAH MENUNJUKKAN BAHAWA KEDUDUKAN BN TIDAK LAGI SELAMAT UNTUK MEMPERTAHANKAN PUTRAJAYA.
    DITAMBAH DENGAN TSUNAMI DI SABAH, PUTRAJAYA SUDAH HAMPIR PASTI JADI MILIK PAKATAN RAKYAT.
    RAKYAT MALAYSIA AKAN MENERIMA KERAJAAN YANG BARU SELEPAS PRU 13 NANTI.

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum Tuan,
    Pohon baca artikel saya di laman berikut http://www.mysuara.net/mendepani-politik-sabah-pasca-lajim-wilfred/ sebagai kesinambungan daripada artikel tn. Trm Kasih. Harap ia dapat disebarkan, khususnya kpd warga Sabahan.

    ReplyDelete

Kepada Member : Komen le bagi semangat
Kepada Pembaca : Komen le mana yg patut
Kepada Pencacai : Agak agak le kalo komen
Kepada Kaki Spam : Luorang takyah komen pon takpe ...Kah kah kah

© 2014 Debik Karmic. Designed by Bloggertheme9
Powered by Blogger.
back to top