Ranau: Sekumpulan 60 orang yang mewakili empat buah kampung di Ranau telah mengadakan demonstrasi duduk dan bantah secara aman disini dalam protes yang mereka namakan 'Janji Tidak Ditepati' oleh BN yang dikatakan gagal untuk membekalkan kampung mereka dengan bekalan air bersih.
Mereka mendakwa penduduk-penduduk kampung tersebut telah bertahun tahun dinafikan dengan bekalan air bersih dan bertambah parah apabila tangki air yang diperbuat dari besi untuk menyimpan air dari Sungai Mensilau selama ini telah sangat uzur dengan lumpur yang dikatakan setinggi lutut dan berkarat didalam, tanpa ada usaha untuk dibaiki atau dibersihkan.
Demo : Gambar menunjukkan Encik Jalibin Paidi yang mengenakan baju 'vest tempatan' dan bercermin mata disamping jurucakap kumplan Ly J Sya Welliam |
Ly J. Sha Welliam, jurucakap bagi kumpulan itu berkata, tangki air tersebut sudah tidak dapat lagi digunakan untuk menyimpan air dan terdapat seramai 3,000 penduduk kampung yang terjejas tanpa bekalan air bersih.
"Kami terpaksa menggunakan air hujan .. sebilangan dari kami pula terpaksa membeli bekalan air mentah dan perlu pula mengangkutnya ke rumah untuk kegunaan seharian. Sampai bila kami perlu tunggu untuk bekalan air yang bersih? Sudah menjelang hampir 50 tahun kemerdekaan pada bulan ini .." ujarnya lagi.
Empat buah kampung yang terbabit dalam bantahan yang diadakan ditepi jalan Kampung Kibbas ialah Paka 1, Koporingan, Purak Ogis dan termasuk Kampung Kibbas itu sendiri.
Demonstrasi duduk dan bantah secara aman itu diadakan dibawah pengawasan sekumpulan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah.
Mereka memulakan perarakan dari kibbas Siba dengan membawa 3 buah sepanduk besar disampung pelbagai lagi plakad menyatakan rasa tidak puas hati mereka serta persoalan yang perlu dijawab oleh kerajaan memerintah.
Sementara itu, seorang peserta dari Kg Kibbas, John Gilong, 43, berbagai usaha telah dibuat untuk mendapatkan perhatian ADUN Keranaan, Datuk Masidi Manjun, namun sehingga kini usaha itu tidak membuahkan hasil.
"Kami menggesa wakil rakyat Masidi untuk datang dan menyelesaikan masalah ketiadaan air .. jarak kami hanya beberapa kilometer dari bandar Ranau namun masalah ini telah berlanjutan selama bertahun tahun," ujar beliau sambil menambah terdapat lebih kurang seramai 1,200 orang pengundi berdaftar disekitar kawasan terbabit.
Ketua State Reform Party (STAR) Ranau, Jalibin Paidi, yang turut berada bersama peserta demo, juga menggesa agar kerajaan negeri terutamanya Masidi untuk mencari jalan menyelesaikan masalah ketiadaan air di empat buah kampung tersebut memandangkan kawasan itu tidak mempunyai punca bekalan air mentah semulajadi yang berdekatan.
"Paling tidak, pemimpin yang berkenaan perlu mengenalpasti masalah dan memberi jaminan untuk penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang. Situasi sekarang adalah sesuatu yang tidak dapat diterima memandangkan kampung kampung ini terletak berdekatan dengan bandar dan kebanyakan rumahnya pula berada tidak jauh dari jalan utama."
"STAR amat bersimpati dengan penduduk-penduduk kampung dan kami cuba sedaya upaya supaya suara dan rintihan mereka didengari oleh pihak yang berwajib," katanya sambil menambah sebilangan anggota penduduk kampung terbabit akan menyambut kedatangan Aidilfitri dalam keadaan tiada bekalan air.
Mereka juga berharap dapat berjumpa dengan Perdana Menteri untuk mengenengahkan masalah ini yang mereka percaya bukan satu satunya (terdapat masalah yang sama selain dari kampung mereka) di daerah Ranau.
0 comments:
Kepada Member : Komen le bagi semangat
Kepada Pembaca : Komen le mana yg patut
Kepada Pencacai : Agak agak le kalo komen
Kepada Kaki Spam : Luorang takyah komen pon takpe ...Kah kah kah