SHAH ALAM: Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk A. Samad Said hari ini menyarankan agar masyarakat desawan mengadakan Bersih 4.0 jika tidak berpuas hati dengan apa-apa tindakan kerajaan.
Beliau yang juga sasterawan negara berkata, sebaik-baiknya himpunan itu diadakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) dan selepas Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.
"Kita melihat 28 April nanti merupakan satu himpunan yang dilakukan oleh golongan kota ataupun kotawan, kita akan melihat satu sejarah baru negara apabila bantahan dilakukan melalui Bersih 3.0.
"Tapi dalam masa yang sama untuk kita melihat momentum bantahan saya sarankan agar Himpunan Bersih 4.0 di laksanakan segera dan perlu dilakukan di desa-desa," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum mendeklamasikan puisi di Konvesyen Hala Tuju Felda di Universiti Industri Selangor (Unisel) hari ini.
Tambahnya, beliau percaya dengan wujudnya Bersih 4.0 dari kalangan desawan, matlamat dan hasrat rakyat lebih didengari oleh kerajaan Umno Barisan Nasional.
"Mood rakyat akan dapat dirasai apabila golongan desa melaksanakan Himpunan Bersih 4.0," sambung beliau lagi.
Menurutnya lagi, jika ini lambat dilakukan seluruh rakyat akan menjadi 'Al-Fakir' kerana terus dipermainkan oleh kerajaan yang ada sekarang,
Sasterawan Negara itu juga sempat menyampaikan Puisi bertajuk 'Melelong Rimba' sebagai menyatakan usaha kerajaan yang bukan sahaja sanggup melelong tanah milik rakyat tetapi juga sanggup melelong hutan rimba demi mencari wang dengan cara yang mudah.
Sumber : HarakahDaily
0 comments:
Kepada Member : Komen le bagi semangat
Kepada Pembaca : Komen le mana yg patut
Kepada Pencacai : Agak agak le kalo komen
Kepada Kaki Spam : Luorang takyah komen pon takpe ...Kah kah kah