Wednesday, May 2, 2012

TAGGED UNDER:

Bersih 3.0 : Sejambak Kawat Berduri Untuk Dataran Merdeka

Ironi pada perhimpunan BERSIH 3.0 ialah Ambiga Sreevanasan dan bukannya DS Najib Razak yang berjaya menyatupadukan rakyat Malaysia dan memberikan makna sebenar kepada slogan 1Malaysia.

Ambiga berjaya menyatukan semua rakyat Malaysia. Satu sasaran yang berjaya dicapai. Satu tamparan buat Najib apabila Ambiga mempunyai lebih tarikan dari apa yang beliau lakukan.

Seandainya demokrasi di Malaysia seperti orang yang menghampiri kematian, BERSIH 3.0 telah berjaya memberi nyawa baru kepadanya, dan kini terpulang kepada rakyat untuk merawat demokrasi yang nazak tersebut kembali menjadi demokrasi yang sihat.

Hanya sekadar satu mimpi untuk PM atau mana mana ahli politik dari umno, jika mereka dapat menarik jumlah seramai yang hadir ke ibukota pada hari Sabtu yang lalu. Amat diragukan jika mereka mampu menyatupadukan rakyat Malaysia dalam skala nasional ataupun global. Umno yang kita tahu, hanya berjaya memisahkan kaum. Jika mereka tidak sedar tentang perkara ini, itu adalah hanya kerana mereka terlalu bongkak atau hidup dalam penafian.

Orang ramai tahu, setiap acara yang dianjurkan oleh umno adalah dibiayai oleh parti. Duit pembayar cukai dibebankan untuk menyediakan pengangkutan, makanan dan hadiah saguhati, yang selalunya bernilai lebih kurang RM30 kepada setiap peserta.

Untuk BERSIH 3.0, Ambiga dan Ajk nya tidak menjanjikan apa apa pulangan. Apa yang beliau lakukan hanyalah mengembalikan kepercayaan dan rasa hormat-diri pada setiap rakyat Malaysia. Mereka memberikan kepada kita peluang untuk melahirkan penolakan kita kepada sistem pengundian yang sangat dipertikaikan.

Rakyat cuma mahu agar Najib dapat membersihkan SPR. Langsung tidak berbangkit isu hendak menggulingkan kerajaan, ianya hanya berkenaan kemahuan rakyat untuk sebuah sistem pilihanraya yang bersih dan adil.

Apa yang Ambiga dapat beri jaminan pada mereka hanyalah sebuah perarakan menuju ke Dataran Merdeka, yang mana jika semuanya bertenang, pihak polis tidak dapat bertindak ganas sebagaimana yang mereka lakukan ketika BERSIH 2.0.


Adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal, diwaktu pagi 28 April, seluruh dunia dan juga majoriti rakyat Malaysia berkongsi debaran yang sama. Rakyat Malaysia di luar negeri terpaku didepan komputer atau media sosial yang lainnya, untuk terus mengetahui perkembangan yang berlaku di sekitar Dataran Merdeka.

Dataran Merdeka telah menyaksikan banyak peristiwa bersejarah dan yang paling penting adalah upacara menurunkan bendera Union Jack serta menaikkan bendera Malaysia pada tengah malam 31 Ogos 1957. Ia akan menjadi kemenangan moral jika BERSIH 3.0 dapat melakukan protes Duduk dan Bantah di Dataran Merdeka. Atas sebab itulah Najib dan umno amat berkeras untuk menghalang BERSIH 3.0 disana.

Rakyat Malaysia yang diketahui memang mempunyai sikap toleran yang tinggi dan taat kepada undang undang, sangat terbuka untuk mematuhi segala larangan asalkan mereka dibenarkan untuk berhimpun. Ratusan ribu rakyat telah menyertainya tanpa berlaku apa apa kejadian yang tidak diingini.


Sekiranya pun benar seperti yang didakwa bahawa Pihak Pembangkang telah menghasut orang ramai untuk memecah masuk ke Dataran Merdeka, apakah perlakuan ganas dari pihak polis tidak diambil kira ? Ramai saksi yang mengatakan bahawa jalan keluar semuanya telah disekat. Mengapa polis begitu menekan rakyat dan menghalang mereka untuk pulang? Mengapa polis membuat mereka marah dan kecewa ?

BERSIH 3.0 benar benar membingungkan Najib. Ego beliau tercalar dan beliau nampak terkilan apabila mengetahui orang ramai seperti meraikan perhimpunan seolah olah satu karnival jalanan. Beliau mungkin lebih berkecil hati apabila mereka berani untuk mengabaikan arahannya untuk tidak berarak. Mungkinkah Najib memang terlibat dalam merencanakan huru hara agar Ambiga boleh dipersalahkan dan imej BERSIH 3.0 akan tercemar?

Ding Dong Si Najib

Sekiranya kepercayaan umpama jalan dua hala, maka rakyat Malaysia telah dikecewakan dikedua dua hala. Satu dari pihak kerajaan sendiri manakala satu lagi dari masyarakat antarabangsa. Sebilangan dari media antarabangsa melaporkan hanya sejumlah 25,000 orang yang berhimpun di Kuala Lumpur. Adakah mereka benar benar berada di Kuala Lumpur?

Penghujung Mac baru baru ini, Najib dengan penuh bangga mengatakan bahawa Malaysia telah meningkat sembilan anak tangga didalam indeks kebebasan akhbar, Wartawan Tanpa Sempadan. Sudah tentu dia tidak boleh merasa begitu lagi untuk tahun 2013 nanti apabila kedudukan itu pasti jatuh disebabkan keganasan yang dilakukan oleh polis terhadap wartawan, pada hari Sabtu yang lalu.

PM Britain, David Cameron sudah tentu berlapang dada untuk menerima Ringgit Malaysia sebagai pertukaran dengan senjata dan pasti akan lebih gembira jika duit KWSP dapat dilaburkan dalam sektor hartanah di London. Nyata, rakyat Malaysia tidak boleh bergantung harap kepada masyarakat antarabangsa dalam mendatangkan perubahan keatas negara ini.

Hanya rakyat Malaysia yang dapat melakukannya dari dalam. Pemimpin dunia hanya lebih berminat kepada komoditi dan eksport dan mereka akan berterusan untuk menutup mata atas apa yang terjadi di Malaysia.

Warna kuning mempunyai beberapa makna. Ianya merupakan warna Di Raja dan juga adalah simbol pada perjuangan BERSIH, dan kuning juga boleh mendatangkan igauan kepada si pengecut. Bila agaknya Perdana Menteri Malaysia boleh menunjukkan kualiti sebenar sebagai seorang pemimpin? Apabila didatangkan dengan soalan yang agak sukar, apa yang boleh dijawab hanyalah 'no comment'.

Dalam satu majlis persendirian yang diadakan di kelab Diraja selangor baru baru ini, dikatakan bahawa Najib telah ditanya apakah dia akan menyerahkan kuasa dengan rela hati jika ditakdirkan beliau kalah dalam PRU 13 nanti, Najib tidak menjawab melainkan berjalan keluar dengan muka merah padam. Minggu lepas, perkara yang sama juga berlaku apabila beliau telah menamatkan satu sidang akhbar setelah beliau diajukan pertanyaan samada beliau akan memberikan keterangan dalam siasatan kes Scorpene di Paris.

Najib sentiasa mengelakkan diri dari situasi yang sukar. Beliau sentiasa inginkan tangan beliau bersih dengan mengelak dari memikul tanggungjawab.

Tahun lepas, Najib dikatakan ingin mengelak dari menjawab isu BERSIH 2.0 pada 9 Julai dengan mengadakan lawatan keluar negara walaupun beliau sebenarnya mempunyai program hanya pada 13 Julai di England. Ketika itu beliau dihalang untuk berangkat lebih awal oleh isterinya yang lebih maklum yang beliau akan berhadapan dengan kritikan yang lebih hebat sekiranya beliau berbuat demikian.

Tapi kali ini, beliau lebih selesa untuk berada di Sarawak menjelang BERSIH 3.0, sama seperti beliau terbang ke Afrika Selatan ketika keputusan Kes Liwat II DSAI akan diumumkan.

Najib meletakkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Ketua Polis untuk bertanggungjawab dalam isu BERSIH 3.0. 

Perdana Menteri seharusnya membenarkan rakyat untuk menyuarakan ketidakpuashatian dan membuat bantahan secara aman di Dataran Merdeka, tetapi bersikap angkuh dan bongkak untuk memberikan laluan kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat.



Mungkin Najib perlu terus biarkan kawat berduri itu kekal di Dataran Merdeka. Biarkan ia kelihatan seperti sebuah hadiah yang dibalut kemas untuk orang ramai memuji dari jauh.

Untuk melengkapkan lagi, beliau perlu meletakkan papan tanda 'Boleh Pandang Tapi Jangan Sesekali Sentuh'. Tetapi kenapa buat separuh jalan ? Kenapa tidak buat penjenamaan semula kawasan tersebut? Kalau rakyat tidak dibenarkan mendekati Dataran Merdeka, Najib sepatutnya menamakan tempat itu sebagai Dataran Barisan Nasional.

Perdana Menteri telah membuat satu perlecehan kepada usaha penambahbaikan dan telah mencacatkan demokrasi. Kita bernasib baik kerana tugu tugu tidak dibenarkan untuk dibina dinegara ini, jika tidak kita akan dapati patung Najib dan 'First Lady' yang tidak sedar diri itu pasti akan merenung kita dari setiap penjuru.

Terjemahan bebas dari karya asal : Mariam Mokhtar (04-30-12) @www.malaysiakini.com

The karmic wheel is turning.., faster than before .., till the end of time, till the end of life.. the wheel is turning as we die
Follow me @drkarmic
Subscribe to this Blog via Email :

2 comments:

  1. Syukur Alhamdulillah kerana Allah telah menggagalkan tujuan perlakuan-perlakuan jahat dari penganut PAS-DAP-PKR dan pro-Komunis untuk menjadikan Dataran Merdeka seperti Dataran Tahrir, Mesir.

    ReplyDelete
  2. @tungkaran hati Syukur .. orang bodoh macam lu pon Allah bagi nikmat ..sebab Allah tu memang Maha Pemurah.

    ReplyDelete

Kepada Member : Komen le bagi semangat
Kepada Pembaca : Komen le mana yg patut
Kepada Pencacai : Agak agak le kalo komen
Kepada Kaki Spam : Luorang takyah komen pon takpe ...Kah kah kah

© 2014 Debik Karmic. Designed by Bloggertheme9
Powered by Blogger.
back to top