Sunday, July 1, 2012

TAGGED UNDER: , ,

Catatan Karmic: Antara Retorik Dan Harapan


Satu hari bila wa pegi stesen Petronas, sempat wa bersapa dengan mamat bangla yang kerja kat situ, kebetulan wa ada beli kuih karipap dari sebuah gerai tepi jalan yang memang nampak menarik, besar tapi malangnya berisikan 2 ulas kentang yang hanya sebesar terung belimbang. Selebihnya penuh angin untuk membuatkan bentuknya kelihatan kembung (mungkin wa kena belajar teknik ni kalo satu hari nanti wa terfikir nak berniaga karipap). Rasanya ? uhh .. out .. serupa macam kunyah tepung goreng, kesat dan tawar. Wa beli 5 biji sebab dah memang itu pakej yang ditawarkan, 5 biji = RM2. So, bila dah berborak dengan mamat bangla ni, wa teringatkan karipap tu dan terus terasa macam nak offer kat dia memandangkan wa tak dah hilang minat untuk melantaknya.

"Bhaiyya nak karipap tak ? saya ada beli lebih tapi tak berapa sedap, kalau bhaiya nak, saya bagi bhaiyya." (wa memang train lidah wa untuk terus berbahasa seharian bila berborak dengan komuniti lain, sebab dengan cara tu wa rasa diowang akan lebih cepat ikut irama bahasa kita berbanding dengan bahasa ajukan.. bhaiyaa karipap mau kaa? saya sudah bili baanyakk tapi tarak sedapp, kalau you mau, saya bolih kasi).. hantam laa labu, gitu le lebih kurang bila wa dengar ..

Tapi apa yang lebih mengagumkan jawapan dari mamat bangla tu lebih dari apa yang wa jangkakan

"Abang, saya datang Malaysia untuk cari makan, saya doa Allah bagi saya rezeki halal. Sedap ka tak sedap ka, akal saja, perut tak fikir itu semua, suruh isi bila lapar" balas mamat bangla tu yang juga cuba untuk berbahasa melayu seharian tapi dengan lidah yang lebih tebal sambil amik sebiji karipap dan mula mengunyah.

"walaeweyh, bhaiya dah berapa lama datang sini?, bukan apa bhaiya, saya rasa karipap tu memang tak berapa kena dengan selera, dari terbiar tak makan, baik saya bagi bhaiya". kata wa kontrol ensem padahal muka rasa naik sebal dan tebal seiras dengan tar yang wa pijak.

"sudah 1 tahun 8 bulan abang, lagi 1 tahun lebih sikit baru boleh balik kampung, 3 tahun kontrak. Alhamdulillah, sedap jugaa, abang blom rasa duduk sana Bangladesh, mau makan ini sedap pon susah, sana kampung very poor la abang, sini banyak makan".

Toiinggg.. sebijik lagi kena tepat atas jambul wa. Tapi perbualan tu tak terhenti setakat tu, banyak yang wa pertanyakan dan banyak lagi kekaguman yang mengisi fikiran wa. Beliau nak menghabiskan kontrak pekerjaan dengan Petronas dan tak bercita cita untuk kembali ke Malaysia sebab dah target untuk ke Britain selepas tamat kursus berbahasa Inggeris. Dia memang mempunyai ramai rakan serta saudara di England namun kekurangan bahasa yang menjadi penghalangnya dan untuk mengambil kursus tersebutlah beliau datang ke Malaysia untuk yuran dan InsyaAllah lebih dari mencukupi kerana yuran yang perlu dibayar di Bangladesh memang jauh lebih murah.

Nota : Semasa gi England dulu, wa pernah terjumpa dengan seorang Pakistan yang fasih berbahasa melayu, dan bila ditanya, beliau memang pernah bekerja di sebuah restoran makanan di Malaysia selama beberapa tahun, so cerita mamat Bangladesh bukan lah sesuatu yang asing.

Suatu masa yang lain, wa singgah untuk membeli durian kat tepi jalan. Penjualnya kebetulan kaum tiong hwa yang agak berusia padahal kebanyakan penjual durian kat tempat wa ni adalah merupakan orang minang. Sebaik je wa sampai, peniaga tu terus menyapa wa dengan bahasa yang masyaAllah, tunggang langgang.

"apa lulian mau calik? lulian kampong ala, d24, udang melah, itu sana molah - ampat soploh, ini tipi punya mahan skit juan kasi timpang tapi lasa ala magut, manyak liao". Lu sendli kasi pilih laa taukey, mana mau? itu halga blakang boleh kasi kulang". (Nak cari durian apa? durian kampung ada, d24, udang merah. Yang sana tu murah - 4biji 10 ringgit, yang tepi ni mahal sikit, jual cara timbang tapi rasa dia bagus, sedap. Kamu pilih sendiri hendak yang mana satu, harga boleh kurang nanti)

Walaupun mata wa memandang pada longgokan durian, tapi otak wa dah melangkau jauh dari banjaran titiwangsa, sebab apa yang datang kat fikiran wa dah sampai ke kebun durian tu sendiri. Secara otomatik, wa teringatkan kampung wa kat Masjid Tanah yang kebanyakan kaum tiong hwa dia bila bercakap dalam telefon, dah takleh nak beza antara melayu dengan bukan melayu.. silap silap luorang akan bagi salam .. kah kah kah

"uncle, tanya sikit boleh? kampung uncle kat mana? uncle meniaga durian dah berapa lama? Durian kampung ni uncle punya ke?"  tanya wa sekadar untuk berbasa basi.

"Apsat? u tau ka itu sungai luan laub? (Sg Ruan, Raub). Lulian sana la manyak magut, lu tak tau ka? itu lulian memang laub latang tapi mukan wa punya pokok. Ini tawun lulian wa tak belapa jadi".. perghhh susah payah dia nak layan soalan wa.

Dipendekkan cerita, bila nak diperbandingkan antara mamat bangla kat permulaan cerita dengan apek jual durian ni, wa buat kesimpulan betapa malangnya sistem yang ada kat negara kita. Bangla tu baru duduk dan tinggal kat sini setahun lebih tapi mempunyai keupayaan untuk berbahasa Malaysia jauh mengatasi apek jual durian yang wa rasa memang dah bermastautin di negara ini sejak keluar dari perut emaknya.

Bila wa sorot pandangan pada negara jiran kita Indonesia, kita sepatutnya berasa malu kerana mereka tanpa mengira ras dan kaum sangat fasih berbahasa Indonesia malah bangga dengan kerakyatan mereka. Sedangkan kita masih dengan dialek sendiri sendiri, tapi masih dengan tanpa bersalah melaung laungkan slogan 1Malaysia. Dimanakah pengisiannya??

Sebenarnya, mengikut pandangan wa, apa yang kita perlukan amat mudah, sebuah intergrasi tanpa prejudis. Intergrasilah yang membuatkan kita dapat menghilangkan tembok pemisah antara kaum melayu dan etnik etnik yang lain tanpa perlu mengorbankan identiti khusus masing masing. Sebagaimana Indonesia yang entiti tiong hwa nya begitu bangga dengan keIndonesiaannya sehinggakan sukar untuk kita meneka samada mereka datang dari kaum itu dan ini.

Dalam konteks negara kita, melayu terus dibiarkan dengan melayu, cina dikalangan cina dan india terus terbiar dengan indianya biar pun cuba dinafikan oleh pihak parti pemerintahan, namun itu realitinya. Senarionya, kita ada UMNO (united malay), MCA (malaysian chinese) & MIC (malaysian indian) yang menerajui kerajaan. Ditambah pula ada persatuan persatuan mutlak perkauman seperti Perkasa, DongZhao & Makkal Sakti (sebagai contoh). Selagi semua pihak mewakili kepentingan entiti masing masing maka penyatuan 1Malaysia yang dilaung laungkan akan kekal sebagai retorik semata mata.

Sebab tu, amatlah penting usaha untuk mendaulatkan bahasa dijalankan secara serius. Bahasa boleh memecahkan tembok pemisah dan rakyat boleh berbicara tanpa prejudis. Sudah tiba masanya untuk Malaysia mengagungkan bahasanya sendiri, bukannya English yang tidak langsung mencerminkan bangsa Malaysia. (dengan nota: English boleh dikuasai oleh mereka yang menginginkannya tanpa paksaan)

Pastinya perkara ini tidak dapat kita sandarkan pada kerajaan BN kerana terbukti setelah 55 tahun merdeka, BN gagal secara total untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan didalam negara dan menjadikan ianya milik semua (cuba gi ke estet estet dan kampung kampung cina dan berborak dengan diowang .. perghhh .. macam ayam dengan itik).

Jadi, wa tujukan harapan pada Pakatan Rakyat yang memang setiap parti yang bernaung terbuka pada semua bangsa, jadikanlah Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi dalam setiap agenda, mesyuarat dan perbualan sesama rakyat. Kalau Jepun, Korea dan China boleh menjadi negara maju tanpa mengenepikan kepentingan bahasa sendiri apa kurangnya bahasa kebangsaan yang pernah menjadi lingua franca sedikit masa dahulu (berapa ramai orang cina rombongan Laksmana Cheng Ho yang boleh berbahasa melayu dan akhirnya memilih untuk menetap dan menurunkan warisan Baba & Nyonya) .. yeah .. kita boleh .. jalannya cuma dengan mengenepikan retorik perkauman.

Adios ~!! 

Nota : Hanya Islam yang boleh menyatukan bangsa, bukannya melayu. Yeah .. ~!!




The karmic wheel is turning.., faster than before .., till the end of time, till the end of life.. the wheel is turning as we die
Follow me @drkarmic
Subscribe to this Blog via Email :

1 comment:

Kepada Member : Komen le bagi semangat
Kepada Pembaca : Komen le mana yg patut
Kepada Pencacai : Agak agak le kalo komen
Kepada Kaki Spam : Luorang takyah komen pon takpe ...Kah kah kah

© 2014 Debik Karmic. Designed by Bloggertheme9
Powered by Blogger.
back to top