Selalu musuh Pas menuduh bahawa Pas parti mengumpat. Bukankah mengumpat itu dilarang oleh agama.
Kenapa Pas sebagai sebuah parti Islam terus dengan amalan mengumpat. Persoalannya adakah di dalam Islam tidak membenarkan penganutnya menceritakan keburukan seorang bagi tujuan maslahat agama?
Apakah ia terus haram? Apakah ini ajaran Islam sehingga tidak ada ruang untuk kita memberitahu kepada orang lain demi kebaikan kepada penganutnya. Mustahil! Islam sebagai Agama rahmat dan adil tidak mengajar kepada penganutnya untuk menggunakan kaedah mungumpat yang diharuskan oleh syarak.
Memang amalan mengumpat satu amalan yang dilarang keras oleh agama sebagaimana Allah SWT menyebut di dalam al-Quran
“Dan jangan sebahagian kamu mengumpat setengah yang lain, adakah kamu suka memakan akan daging saudaranya yang mati? Amat sudah pasti kamu benci akan demikian itu?”
Sabda Rasulullah SAW
“Adalah aku lalu pada malam Isra’ maka sampai aku ke Baitul Maqdis dan aku dapati satu kaum yang mencakar muka dengan kuku hingga luka segala muka mereka itu. Maka aku berkata “Hai Jibril siapa mereka itu?. Maka kata Jibril “Mereka itulah yang mengumpat akan manusia dan jatuh mereka itu di dalam menyebut keaiban manusia”.
Imam al-Ghazali menyatakan bahawa had mengumpat, iaitu engkau menyebut akan manusia dengan suatu perkara yang dia marah jika sampai kepadanya, samaada engkau sebut itu akan sifat kekurangan pada badannya atau pada bangsanya atau perangainya atau pada perbuatannya atau pada perkataannya atau pada agamanya atau pada dunianya hingga pada pakaiannya, rumahnya dan binatangnya sekalipun”.
Kesimpulannya mengumpat ini tidak tertentu dengan perkataan sahaja, bahkan tiap-tiap, kelakuan, perbuatan yang memberi tahu akan kejahatan seseorang maka ia dinamakan mengumpat.
Demikian lagi haram mengumpat kepada seorang samaada dengan perkataan yang soreh (jelas) atau kinayah (sindiran) yang memberi tahu akan kejahatan orang yang tertentu .
Demikian lagi haram mengumpat kepada seorang walaupun dengan isyarat dan suratan. Harus menyebut kejahatan orang yang tidak tertentu .
Seperti sabda Rasulullah SAW apabila ia melihat akan seorang yang berbuat kejahatan pada hal ia benci akan yang demikian itu. Maka Sabda Rasulullah SAW dengan maksudnya
“Ada kelakuan beberapa kaum itu pada hal berbuat mereka itu akan kejahatan begini-begini, dan adalah ia tidak menentukan akan perbuatan kejahatan itu kepada individu yang tertentu”. (Riwayat Abu Daud)
Walau bagaimanapun di sana ada pengecualian yang diharuskan mengumpat,
Pertama : membuat aduan kepada hakim mengenai kejahatan seorang supaya ia menerima pengadilan.
Kedua : memberi tahu kejahatan seorang kepada pihak berkuasa dengan tujuan untuk meminta bantuan daripadanya supaya dapat membantu orang yang buat maksiat kembali ke pangkal jalan.
Ketiga : harus melaporkan kejahatan kepada mufti atau orang yang dipohon fatwa mengenai suatu perkara. Seperti apa yang pernah dilakukan oleh Hindun (isteri Abu Sufian) mengadu hal mengenai suaminya Abu Sufian kepada Nabi SAW
“Bahawa Abu Sufian seorang lelaki yang kedekut, ia tidak memberi kepada aku dan anakku makanan dan pakaian yang mencukupi. Maka adakah harus aku mengambil akan makanan atau pakaian dengan tanpa pengetahuannya?. Maka Sabda Rasulullah SAW “Ambilah akan makanan dan pakaian itu memadai dan munasabah untuk engkau dan anak engkau, walaupun ia tidak mengentahui sekali pun” (Muttafaqun ‘Alaih)
Keempat : harus mengkhabarkan kejahatan seorang supaya orang lain tidak terpengaruh dengannya. Seperti engkau melihat seorang yang sering berulang alik menemui orang yang tidak baik dari segi iktiqadnya atau orang yang tidak baik dari segi pegangan agamanya. Maka harus engkau memberi tahu supaya jangan ia mengaji atau bersahabat dengan dia kerana bersahabat dengan dia akan membawa kepada kebinasaan kepada agamanya.
Demikian juga jika kita melihat seorang yang mengaji kepada ulamak jahat maka harus kita beri tahu supaya menjauhkan diri daripada berguru dengan dia.
Kelima : harus kita memberi tahu kepada seorang yang hendak mengambil mana-mana individu untuk menjadi saksi, kerana kita tahu bahawa orang itu tidak layak menjadi saksi kerana fasiknya.
Keenam : harus kamu menceritakan kepada seorang yang bertanya mengenai seorang wanita yang hendak dijadikan calon isteri, maka harus kita memberi tahu mengenai kejahatan akhak perempuan tersebut.
Ketujuh : demikian juga harus kita memberi tahu mengenai seorang lelaki yang hendak meminang seorang perempuan, mengenai akhlak buruknya kepada bakal mertuanya. Sabda Rasulullah SAW
“Sebutlah oleh kamu akan kejahatan seorang yang fasik, supaya manusia dapat menjauhinya” (al-Tabrani)
Kelapan, harus menyebut akan aib orang yang tidak diketahui akan dia melainkan dengan disebutkan aibnya itu seperti sipulan yang buta atau sipulan yang tempang.
Kesembilan : harus menyebut kejahatan orang yang telah masyhur dengan fasiknya seperti seorang yang terkenal sebagai penzina, peliwat, minum arak dan sebagainya. Seperti Kata Imam al-Hasan Basri Rahimahullah
“Tiga orang yang tiada haram atas orang yang mengumpat kepada mereka, pertama orang yang mengikut hawa nafsu, kedua ialah orang yang fasik yang menzahirkan ia akan maksiatnya itu sekira-kira jikalau dikata oleh orang akan kejahatannya nescaya tiada ia benci akan demikian itu. Ketiga pemimpin yang zalim maka tidak haram menyebut akan pekerjaan zalim itu”
Untuk keterangan lanjut boleh dilihat di dalam Kitab Riadhu al-Salihin oleh Imam Nawawi, Sairu al-Salikin Sheik Abdul Samad al-Palimbani mengenai perkara yang harus mengumpat.
Sumber : Ustaz Idris Ahmad
Pengarah Jabatan Tarbiyyah Dan Perkaderan
Parti Islam SeMalaysia PAS
Sumber : Ustaz Idris Ahmad
Pengarah Jabatan Tarbiyyah Dan Perkaderan
Parti Islam SeMalaysia PAS
0 comments:
Kepada Member : Komen le bagi semangat
Kepada Pembaca : Komen le mana yg patut
Kepada Pencacai : Agak agak le kalo komen
Kepada Kaki Spam : Luorang takyah komen pon takpe ...Kah kah kah